22 August 2013

♥ Makanan Bayi - AVOCADO ♥

Oh Avocado..




Mungkin buah berwarna hijau berbentuk lonjong ini
kurang popular dibandingkan dengan barisan buah-buahan lain
 yang sering menjadi kudapan ramai.

Tetapi sebenarnya buah Avocado yang juga dikenali 
sebagai alpukat di Indonesia, 
tekenal sebagai buah yang kaya dengan vitamin C, E dan K.
 Ia juga rendah kandungan gula serta tiada kandungan garam
 yang memang sesuai untuk mereka yang mementingkan kesihatan.

Dari sudut perubatan,
 buah avocado mengandungi antioksida dan potasium 
untuk mengelak daripada penyakit radang sendi 
dan kandungan asid foliknya pula dapat mengelak serangan jantung dan kanser. 
Avocado juga mengandungi sumber lutein yang tinggi
 untuk mengawal katarak sebagai langkah awal daripada menjadi buta.

Berita baik untuk mereka yang hendak berdiet,
 hasil kajian oleh Wesley Medical Centre, Brisbane, Australia 
mendapati jika seseorang itu makan setengah atau 
sebiji avocado setiap hari selama sebulan akan dapat mengurangkan berat badan
 dan merendahkan kolesterol.

Bagi yang menjaga kecantikan,
 jangan jauhkan diri anda daripada buah ini
 kerana ia kaya dengan vitamin E yang baik 
untuk memperlahankan proses penuaan.
 Kepada ibu-ibu yang inginkan kelainan menu anak, 
avocado sesuai sebagai makanan bayi kerana
 kandungan lemak tidak tepu akan membantu proses perkembangan bayi.

Buah avocado agak lembut maka ia perlu dipegang 
dan disimpan dengan cermat supaya tidak mudah lebam.



Sedia maklum bayi boleh diberi makan apabila umurnya mencecah 6 bulan. 
World Health Organization
(WHO) dan Kementerian Kesihatan Malaysia menggariskan 
bayi dibawah 6 bulan hanya diberi susu ibu.

Mengenai makanan pertama bayi, 
ramai ibu-ibu mungkin tertanya-tanya
 “Apakah makanan pertama yang terbaik bagi bayi?” 

Banyak makanan yang terbaik buat bayi yang baru mula makan 
antaranya adalah buah Avokado.
 Avokado yang dilecek bersama susu ibu 
(Atau susu formula bagi bayi yang menyusu formula)  
adalah sangat sesuai dijadikan makanan pertama 
bayi kerana tekstrurnya halus dan
rasanya yang berlemak.
 Ia sesuai bagi bayi kerana dengan kandungan lemak tidak tepu akan
membantu proses perkembangannya

Ia mengandungi vitamin A, B
 (termasuk B6, niacin dan riboflavin) 
C dan E serta kandungan galian
seperti kuprum, magnesium, potasium dan zink 
selain tidak mengandungi kolesterol dan sodium.

Avocado bukan sahaja rendah kandungan gula dan tiada garam
 tetapi kaya dengan vitamin iaitu A, B
(termasuk B6, niacin dan riboflavin) C, E dan K 
serta kandungan galian seperti kuprum, magnesium,
potasium dan zink selain tidak mengandungi kolesterol dan sodium.

Selain itu ia juga mengandungi
antioksida dan potasium untuk mengelak daripada penyakit 
radang sendi dan kandungan asid foliknya
pula dapat mengelak serangan jantung dan kanser.
Avocado juga mengandungi sumber lutein yang tinggi
 untuk mengawal katarak sebagai langkah awal
daripada menjadi buta.


    Info mengenai Avokado :

    Jika teringin membeli avokado,
     pastikan anda memilih buah yang kulitnya berwarna gelap 
    keranaia sudah boleh dimakan.
    Pilih avokado yang disusun di bahagian paling hadapan.
    Jangan cucuk atau picit avokado menggunakan hujung jari, 
    sebaliknya jika anda ingin mengetahui isinya sudah lembut, 
    anda boleh mengepal avokado dengan tapak tangan.
    Avocado enak dijadikan jus, salad atau dimakan dengan manisan.
    Isi avokado juga boleh dijadikan sos atau bahan pemekat dalam kuah.
Kandungan yang terdapat di dalam 100 gram Avokado :

  • Karbohidrat 8.53 g
  • Gula 0.66 g
  • Dietary fiber 6.7 g
  • Lemak 14.66 g
  • Protein 2 g
  • Thiamine (Vit. B1) 0.067 mg (5%)
  • Riboflavin (Vit. B2) 0.130 mg (9%)
  • Niacin (Vit. B3) 1.738 mg (12%)



14 August 2013

♥ SI KECIL 5 BULAN ♥


Perkembangan bayi anda pada usia 5 bulan


Highlights


Pada waktu ini, perkembangan fizikal bayi anda meningkat semakin cepat dan pantas. Jika di ditiarapkan dia dengan mukanya memandangkan ke bawah, dia akan meregangkan tangan dan kakinya dan melengkungkan bahagian belakangnya, dan sekiranya bayi anda terlentang memandang ke atas, dia akan mengangkat kepala dan bahunya. Dia juga mungkin akan duduk seketika tanpa bantuan -- namun anda haruslah berada berdekatan untuk menyediakan sokongan dan mengelilingi bayi anda dengan bantal untuk menahannya jika terjatuh. Galakkan bayi anda bermain sambil meniarap: ini akan memaksanya mengangkat kepala dan dada untuk melihat alat mainan atau wajah anda, dan akan membantu untuk menguatkan otot lehernya dan meningkatkan kawalan kepala yang penting untuk membolehkan dia duduk dengan sendiri. Jika anda mengampu bayi anda dengan meletakkan tangan di bawah ketiaknya sambil membiarkannya mengimbangi kakinya atas peha anda, dia akan melompat ke atas dan ke bawah. Masa ini bayi anda dengan senangnya boleh juga membawa objek ke mulutnya untuk di periksa dengan menggunakan mulutnya.


Mengulangi bunyi yang disukainya

Bayi anda sedang menambah bunyi-bunyi baru ke dalam himpunan bahasanya, dan mungkin kegemarannya pada masa ini ialah meniup air liur berbentuk seperti raspberi, iaitu berbuih-buih. Pada usia ini, adalah merupakan tabiat biasa jika bayi-bayi mudah terpesona dengan salah satu kebolehan barunya yang mana mereka akan mengulanginya untuk masa yang agak panjang. Ini adalah proses perkembangan yang normal. Kebanyakan bayi akan memahirkan diri dengan sesuatu kebolehan terlebih dahulu sebelum beralih kepada kebolehan yang lebih susah. Oleh itu, mendengar bunyi yang sama yang diulang beberapa kali oleh bayi anda boleh membuatkan anda rasa tak sabar, tetapi eloklah jika anda bersabar buat masa ini sebab fasa ini akan menyediakan anda untuk menghadapi fasa di mana perkataan "tidak" dan "kenapa" akan disebutkan bertalu-talu apabila bayi anda sudah boleh berjalan.


Cukup kuat untuk makan sendiri

Walaupun bayi anda mungkin berupaya untuk memegang botol susu sendiri, jangan dudukkan bayi anda dan membiarkannya makan sendiri. Bayi anda akan berupaya duduk sendiri dengan lebih baik dan menggenggam objek kecil hanya selepas usia enam bulan. Pada bulan ini, anda perlu terus menggunakan waktu makan untuk mendakap, memegang dan memanjakan bayi anda – tidak lama lagi bayi anda akan menjadi sangat berdikari dan akan mengelak ciuman dan dakapan anda. Bayi anda mungkin telah menunjukkan tanda-tanda yang dia sudah bersedia untuk makanan pejal -- jika dilihat pengurangan refleks menjelir lidah secara automatik dan peningkatan minat terhadap makanan yang sedang dimakan oleh anda dan orang lain. Walau bagaimanapun, hanya susu ibu atau susu formula yang diperlukannya sehingga dia berusia enam bulan.


Belajar mengenai sebab dan akibat

Kebolehan bayi anda untuk berinteraksi dengan anda, orang lain dan persekitarannya meningkat setiap hari. Pada peringkat ini bayi anda mungkin akan mula bermain-main sebab dia telah mula memahami bahawa tindakan-tindakan kecilnya akan membawa kepada hasil tertentu. Dia mungkin akan menjatuhkan objek hanya untuk melihat anda mengutip objek tersebut atau untuk melihat bagaimana dan di mana objek itu jatuh. Walaupun ini terasa amat memenatkan, namun begitu, lebih baik anda cuba membiasakan diri dengan tabiat ini. Dalam masa beberapa minggu nanti, tindakan bayi tersebut akan dituruti dengan gelak ketawanya yang amat meriah.


Mampu melihat objek kecil dan perbezaan warna lembut

Bayi anda semakin mahir dalam mengesan objek yang sangat kecil dan menjejaki benda-benda bergerak. Pada peringkat ini, bayi anda mungkin boleh mengenali objek selepas melihat hanya sebahagian daripada objek tersebut – justeru membina asas untuk permainan sorok-sorok yang akan anda mainkan dengannya pada bulan-bulan berikutnya.

Sebelum ini bayi anda sudah belajar membezakan antara warna-warna terang yang sama. Sekarang dia akan mula dapat mengasingkan perbezaan-perbezaan yang kurang ketara antara warna-warna lembut.


Mempertajamkan deria terhadap bunyi

Bayi anda sekarang sudah sedar dari mana datangnya bunyi dan dia akan terus berpusing ke arah bunyi baru. Salah satu cara paling menarik untuk menarik perhatian bayi anda adalah dengan menggoyangkan satu set kunci. Peranggu angin juga adalah penarik perhatian yang bagus. Sekarang, bayi anda mungkin akan memerhatikan mulut anda dengan rapi apabila anda sedang bercakap, dan cuba untuk meniru pengubahan (fleksi) dalam nada suara dan mengungkap bunyi-bunyi konsonan seperti "m" dan "b". Bayi berusia lima bulan sudah boleh mengenali bunyi nama mereka sendiri. Perhatikan bagaimana anak kecil anda memusingkan kepalanya bila anda memanggilnya atau bercakap mengenainya dengan orang lain.


Mudah mengalihkan perhatian

Apabila bayi anda mula meragam di pasaraya pada bulan ini, anda mungkin boleh mengalihkan perhatiannya hanya untuk sekejap masa. Cuba melekakannya dengan membuat muka-muka yang lucu atau menyanyikan lagu dan bermain tangan. Menepuk tangan anda atau memberikan dia sesuatu untuk dipegang juga boleh mengalihkan perhatiannya.


Perkembangan pelbagai emosi

Bayi tidak boleh menzahirkan perasaan mereka secara kompleks seperti orang dewasa. Walaupun mereka dapat memberitahu anda bila waktu mereka marah, bosan atau gembira, mereka tidak boleh meluahkan rasa kasih sayang ataupun berjenaka pada beberapa bulan pertama, tetapi perkara ini akan mula berubah. Setelah berumur lima bulan, bayi anda akan menunjukkan ikatan yang kuat dengan anda dengan menghulurkan tangannya apabila dia mahu didukung dan menangis apabila anda meninggalkan bilik. Bayi anda juga mungkin akan mula memeluk dan mencium anda. Dan dia juga mungkin akan mula memahami lawak jenaka – dia akan ketawa pada mimik muka yang kelakar dan akan cuba membuat anda ketawa juga.

Bagi kebanyakan ibu bapa, di sinilah keseronokan bermula. Anda akan mendapati diri anda kembali dan menyertai dunia bayi semula apabila anda membuat muka-muka mengarut dan bunyi-bunyian yang ganjil, serta bermain pantomim dan membuat mimik muka.


sumber dari ::
http://www.babycenter.com.my/a1033297/perkembangan-bayi-anda-pada-usia-5-bulan#ixzz2cgEmrprp


23 July 2013

♥ KURMA ♥

Salam Ramadhan untuk semua..
Apabila ramadhan jek mesti ada kurma kan..
Apabila berbuka makanan pertama yg mesti kite mkn
mesti KURMA...
Ikut Sunnah kan..
Jum bace info kurma di bwh...
mcm2 jenis dan byk kelebihan kurma ni..


KHASIAT
BUAH KURMA

Kurma adalah sejenis tumbuhan (Palma)
 atau dikenali dalam bahasa saintifiknya 
sebagai Phonex dactylifera yang berbuah 
dan boleh dimakan sama ada yang masak atau yang mentah.
 Kebanyakan pokok kurma tumbuh di negara-negara Arab 
dan mempunyai berbagai-bagai jenis. 

Antara kurma yang terkenal ialah 
kurma Mekkah dan Madinah yang dikatakan mempunyai berpuluh-puluh jenis. 
Dikalangan penduduk di negara-negara Arab kurma adalah makanan utama mereka, 
malah dikalangan orang kita juga kurma sudah menjadi bahan makanan yang digemari. 
Selain rasanya yang manis dan tahan lama serta tidak perlu dimasak,
 kurma juga mempunyai khasiat yang banyak 
dan menjadi makanan utama Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Jaafar katanya : 
"Aku melihat Rasulullah Sallallahu 
Alaihi Wasallam memakan buah-buahan dengan kurma masak.

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam 
telah menyebutkan tentang khasiat sejenis kurma 
yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud :

"Diceritakan oleh Jumaah bin Abdullah yang disampaikan 
oleh Marwan yang mendapat berita daripada Ibnu Hashim bahawa Amir bin Saad
mendengar bapanya meriwayatkan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda :

 "Sesiapa yang memakan 7 biji tamar ‘Ajwah’
 dia akan terkawal daripada kejutan syaitan 
dan sihir pada hari itu".

Khasiat kurma "Ajwah" sebagaimana yang tersebut di dalam hadis 
di atas merupakan satu kelebihan yang dikurniakan Allah Subhanahu Wataala 
sesuai dengan kemuliannya sebagai jenis kurma pertama
 yang ditanam sendiri oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Terdapat juga di dalam al-Qur’an ayat yang menyatakan tentang kelebihan buah kurma ini, yang dialami oleh Sayydatuna Maryam ketika beliau mengandung Nabi Isa ‘Alaihi Salam sebagaimana tersebut di dalam surah Maryam ayat 25 :


Tafsirnya : "Dan gocangkan batang kurma itu kepadanya, nanti ia gugurkan atasmu kurma yang masak.

(Surah Maryam : 25)

Ayat di atas menjelaskan tentang khasiat buah kurma 
kepada kaum wanita yang sedang dalam nifas, 
bila mana Allah memerintahkan Maryam memakannya 
sedang beliau dalam keadaan lemah selepas bersalin. 

Penemuan kajian sains tentang khasiat buah kurma 
yang kaya dengan unzur zat besi dan kalsium telah membuktikan 
bahawa perubatan cara Islam yang terkandung di dalam al-Qur’an 
dan hadis Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam 
bukanlah jenis perubatan yang semata-mata sesuai 
dengan keadaan iklim masyarakat Arab sahaja atau 
sudah ketinggalan zaman, 
tetapi ia adalah perubatan yang diiktiraf oleh dunia antarabangsa. 
Malah ia lebih baik daripada ubat-ubatan moden 
yang menggunakan berbagai campuran dadah 
yang boleh mengakibatkan kesan sampingan yang lain.




Unsur zat besi dan kalsium yang terdapat di dalam buah kurma 
adalah unsur yang paling tinggi bagi membentuk susu ibu

. Bagi Ibu-ibu yang mempunyai masalah kekurangan susu, 
maka dengan memakannya dapat menggalakkan pertambahan kandungan susu.
 Ianya juga berperanan dalam pertumbuhan kanak-kanak damit 
dan pembentukan darah dan sumsum tulang. 
Antara kajian lain yang dijalankan membuktikan bahawa kurma antara 
makanan yang paling pantas diproses sebagai bekalan tenaga. 
Kurma tersebut akan segera dibakar 
dan ia akan disalurkan ke bahagian anggota lain dan otak.

Berdasarkan ini juga Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menganjurkan kita supaya berbuka puasa dengan buah kurma sebagaimana sabdanya daripada Anas bermaksud :

"Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam berbuka puasa 
dengan beberapa biji buah kurma sebelum sembahyang. 
Sekiranya tiada terpadat kurma,
 maka Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam 
akan berbuka dengan beberapa biji anggur. 
Sekiranya tiada anggur, maka Baginda meminum beberapa terguk air.

(Hadis riwayat Ahmad)
Sehubungan dengan hadis ini ada beberapa hadis lain yang menganjurkan 
agar kita berbuka puasa dengan kurma. 
Sebagaimana hadis yang diriwayatkan
 oleh Anas bin Malik, beliau berkata : 
"Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasalla berbuka dengan kurma 
dan barangsiapa yang tidak mendapatkannya 
maka hendaklah ia berbuka dengan air kerana sesungguhnya air itu pembersih.

Antara hadis lain yang menyatakan kelebihan buah kurma :


Maksudnya : Daripada Adiy bin Hatim, ia berkata : 
"Saya mendengar Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda : 
"Hindarilah api neraka walaupun (dengan memberi sedekah) sebelah buah kurma.

Hadis ini menerangkan kemuliaan buah kurma, 
iaitu walaupun dengan hanya kita bersedekah 
sebelah buah kurma kita terhindar daripada api neraka.

Jadi bagi orang-orang yang mementingkan kesihatan
 mereka agar sentiasa dapat dijaga dengan baik,
 buah kurma adalah amat sesuai dijadikan 
sebagai salah satu makanan harian mereka khususnya 
di waktu pagi sebelum memulakan sebarang tugas harian. 
Khasiat kurma juga adalah sesuai dan baik bagi pertumbuhan kanak-kanak.

Mudah-mudahan dengan amalan memakan kurma yang berterusan,
 kita terhindar daripada berbagai kemungkinan
 dan dapat meneruskan tugas harian serta beribadat kepada Allah Subhanahu Wata’ala.



16 July 2013

♥ 7 SEBAB BAYI MENAGIS ♥


Apakah sebab bayi menangis?

Semua bayi menangis pada masa-masa tertentu. Mereka perlu menangis. Bayi baru lahir yang sihat pun akan menangis juga selama satu hingga tiga jam sehari. Oleh kerana mereka tak dapat membuat apa-apapun untuk diri sendiri, bayi bergantung kepada orang lain untuk memberi mereka makanan, kepanasan dan keselesaan yang mereka perlukan. Tangisan adalah cara bayi memberitahu bahawa mereka perlukan sesuatu.

Sebagai ibu atau bapa baru, ada masanya anda mendapati sukar untuk menentukan apakah yang bayi anda perlukan. Adakah dia lapar, sejuk, haus, bosan atau sekadar mahu dipeluk? Dalam beberapa hari pertama, semasa anda belum tahu bagaimana hendak mengenal pasti keperluan bayi anda, tangisan ini boleh membuat anda rasa bimbang. Namun begitu, lambat laun anda akan mula mengecam gaya tangisannya yang berlainan dan setelah anda lebih mengenalinya, anda akan dapat memenuhi keperluannya.

Semasa membesar, bayi juga akan mempelajari lain-lain cara untuk berkomunikasi dengan kita. Mereka menjadi lebih cekap menyatakan sesuatu dengan menggunakan kontak mata, membuat bunyi-bunyi tertentu, dan juga dengan senyuman. Semua ini dapat mengurangkan keperluan untuk menangis. Sebab-sebab biasa bayi menangis ada disenaraikan di bawah. Jika bayi anda sukar ditenangkan, cubalah panduan ini satu persatu. Dengan cara ini, anda akan rasa lebih lega kerana telah cuba memenuhi keperluannya sebaik yang mungkin.

1. Saya perlukan makanan

Lapar adalah sebab utama bayi menangis. Bayi yang lebih kecil lebih berkemungkinan menangis kerana lapar, kecuali dalam tempoh satu atau dua hari selepas dilahirkan kerana pada ketika ini dia hanya minum sedikit sahaja. Jika anda mengamalkan penyusuan badan, anda mungkin sedar akan perkara ini, kerana susu awal atau kolostrum yang sangat pekat dikeluarkan dalam jumlah yang sedikit. Anda juga mungkin sedar bahawa susu mula keluar dengan banyak sekitar hari ketiga.

Perut bayi yang kecil tidak dapat menyimpan begitu banyak. Oleh itu, dia akan kerap lapar. Jika bayi anda menangis, cuba berikan dia susu kerana besar kemungkinan dia sedang lapar. Dia tidak akan berhenti menangis dengan serta merta, tapi teruskan penyusuan jika dia mahu, dan dia akan mula bertenang apabila perutnya terisi. Walau bagaimanapun, jika bayi anda sudah disusukan dan dia masih menangis, mungkin dia menyatakan keperluan seterusnya.

2. Saya perlukan keselesaan

Bayi sudah tentu akan membantah jika baju mereka terlalu ketat atau jika lampin kotor membuatkan mereka rasa tidak selesa. Setengah bayi tidak begitu cerewet. Lampin yang penuh mungkin tidak mengganggu mereka. Tetapi sesetengah bayi akan menjerit dan minta lampin ditukarkan dengan segera, terutama sekali jika kulit mereka terasa gatal atau tidak selesa.

Memeriksa lampin bayi dan menukarkannya mungkin akan memenuhi keperluannya, jadi eloklah dicuba. Ia juga memberi peluang untuk anda memeriksa yang lampinnya tidak terlalu ketat atau tiada perkara lain melibatkan pakaiannya yang membuatkan dia tidak selesa.

3. Saya perlu kehangatan - tidak terlalu panas atau terlalu sejuk

Setengah bayi baru lahir tidak suka ditukarkan lampin atau dimandikan. Mereka tidak biasa merasa udara menyentuh kulit mereka dan lebih suka dibalut panas. Jika bayi anda seperti ini, anda akan cepat tahu bagaimana hendak menukarkan lampin dengan segera supaya bayi anda boleh bertenang semula. Namun begitu, berhati-hatilah supaya tidak memakaikan terlalu banyak lapis baju, sehingga dia akan terlalu panas. Satu petua ialah dengan mengingati yang dia memerlukan satu lapis pakaian lebih daripada anda untuk rasa selesa.

Jika dia berada di katil bayi atau bakul bayi, cuba gunakan cadar atau selimut berlubang-lubang sebagai alas tilam dan bukannya selimut tebal supaya anda boleh menambah atau membuang satu lapisan apabila perlu. Anda boleh memeriksa samada bayi anda terlalu panas atau sejuk dengan menyentuh perutnya: jika dia terasa terlalu panas, buangkan satu lapisan selimut, jika dia sejuk, tambah satu. Jangan berpandu kepada suhu tangan atau kakinya kerana adalah normal bagi kaki dan tangan terasa agak sejuk.

Kebanyakan farmasi di Malaysia ada menjual termometer. Anda boleh menggunakannya untuk mengambil suhu badan bayi jika kurang pasti. Kekalkan suhu di bilik bayi anda pada 24 darjah C / 75.2 darjah F, dan letakkan dia menelentang dengan kaki di hujung katil bayi supaya dia tak boleh bergolek sehingga tenggelam di bawah selimut dan menjadi terlalu panas.

4. Saya perlu dipeluk

Setengah bayi sangat suka dipeluk dan dimanjakan. Bayi yang lebih besar akan menjadi tenang jika dia boleh nampak anda dan mendengar suara anda dalam bilik, tetapi bayi yang baru lahir lebih memerlukan sentuhan fizikal untuk menjadi selesa. Jika anda telah memberi bayi makan dan menukar lampinnya, anda akan dapati bahawa sekarang dia hanya mahu dipeluk.

Setengah ibu dan bapa bimbang bayi mereka akan menjadi terlalu manja jika didukung berlebihan, tetapi sebenarnya, dalam bulan-bulan pertama kehidupannya, perkara ini agak mustahil. Sesetengah bayi tidak perlu terlalu banyak sentuhan fizikal, manakala yang lain mahu dipeluk hampir sepanjang masa. Jika bayi anda perlu banyak didukung, anda mungkin mahu mencuba gendongan bayi, yang membolehkan bayi berada rapat dengan anda dan membebaskan tangan anda untuk membuat kerja lain. Ini mungkin jalan terbaik bagi anda berdua.

5. Saya perlukan rehat

Memang mudah bagi kita menyangka yang bayi akan tertidur apabila mereka mengantuk, tidak kira di mana mereka berada kerana kebanyakan bayi berbuat demikian. Tetapi, jika bayi anda telah mendapat terlalu banyak perhatian - mungkin hari itu sibuk dan ramai pelawat datang ke rumah - dia mungkin terlalu terangsang dan mendapati sukar untuk "tutup suis" dan bertenang. Bayi baru lahir mendapati sukar untuk mengurus rangsangan yang terlalu banyak pada satu-satu masa hingga boleh menjadi gelisah. Cahaya lampu, bunyi bising dan saudara mara yang masing-masing mahu menarik perhatiannya cukup membuatkan dia resah.

Ramai ibu bapa mendapati bayi menangis lebih daripada biasa apabila suadara mara datang melawat, atau apabila petang menjelma. Jika anda tidak nampak sebab tertentu mengapa bayi anda menangis, dia mungkin cuba memberitahu anda, "Saya dah tak tahan lagi". Jika anda bawa dia ke tempat yang tenang dan senyap, kurangkan ransangan secara perlahan, dia mungkin akan mengeskspresikan perasaannya dengan menangis sekejap sebelum betenang dan terus tidur.

6. Saya perlukan sesuatu untuk membuat saya rasa lebih sihat

Jika anda telahpun memberi bayi makan dan memastikan dia selesa, tetapi dia masih terus menangis, anda mungkin tertanya-tanya samada dia sakit atau mengalami kesakitan. Mereka yang baru bergelar ibu atau bapa sering mendapati sukar untuk mengetahui samada bayi mereka menangis kerana dia adalah bayi yang tidak gembira (sesetengah bayi begitu, dan mereka mengambil masa yang panjang untuk menyesuaikan diri untuk hidup di dunia) atau samada memang ada sesuatu yang tak kena. Bayi yang sakit lazimnya menangis dengan suara yang berlainan daripada tangisan biasa. Tangisan kesakitan mungkin berbunyi cemas atau nyaring.

Begitu juga dengan bayi yang sering menangis; sekiranya dia mula diam, ini mungkin petanda yang dia kurang sihat. Yang paling penting untuk diingati ialah tiada siapa yang mengenali bayi anda seperti anda sendiri. Jika anda rasa mungkin ada masalah tertentu, hubungilah pakar pediatrik atau doktor keluarga anda.

Pakar perubatan profesional lazimnya akan menimbangkan kebimbangan anda secara serius, dan anda akan merasa lebih tenang jika diberitahu tiada sebab fizikal bayi anda menangis. Anda perlu menghubungi doktor jika bayi anda mengalami kesesakan nafas apabila menangis, atau jika tangisan diikuti dengan:
muntah-muntah
cirit-birit
sembelit

Lihat artikel kami tentang bila harus menghubungi doktor untuk panduan lanjut.

7. Saya perlukan sesuatu ...
 tetapi saya tak tahu apa yang saya mahu

Kadang-kala anda mungkin tidak dapat menduga apakah masalahnya apabila bayi anda menangis. Ramai bayi baru lahir melalui masa-masa apabila dia meragam dan sukar dipujuk. Keadaan tidak gembira atau tangisan yang sukar dipujuk ini boleh berlangsung selama beberapa minit atau beberapa jam. Tangisan yang tidak berhenti selama beberapa jam ini juga dikenali sebagai kembung atau kolik.

Kembung atau kolik didefinisikan sebagai tangisan yang tidak dapat ditenangkan yang berlangsung selama sekurang-kurangnya tiga jam sehari, tidak kurang daripada tiga hari dalam seminggu. Ramai ibu bapa mendapati sukar untuk menguruskan bayi yang menghidap kolik, dan keadaan itu boleh menyebabkan ketegangan bagi seluruh keluarga. Tiada rawatan ajaib bagi kolik, tetapi keadaan itu tidak akan berlanjutan lebih dari tempoh tiga bulan. Jika anda sentiasa boleh mengingatkan bahawa keadaan bayi anda itu akan pulih apabila dia membesar, anda mungkin rasa lebih lega.


Anak saya sedang menangis. Apa yang harus saya lakukan?

Ada beberapa perkara yang anda boleh lakukan untuk cuba menenangkan bayi yang menangis. Tidak semuanya berkesan untuk semua bayi, jadi anda perlu memahami bayi anda sedikit demi sedikit untuk mengetahui apa yang sesuai baginya dan bagi anda.

Bedungkan dia dan peluk dengan kuat
Bayi baru lahir menunjukkan kegemaran untuk rasa rapat dan selamat, sama seperti masa di dalam rahim, jadi anda mungkin mahu cuba membedungkan bayi anda dengan selimut dan memerhatikan samada dia suka dibedung. Ramai ibu dan bapa juga mendapati bahawa memeluk bayi rapat, terutama sekali apabila bayi boleh mendengar denyutan jantung ibu bapa, atau meletakkan bayi dalam gendonganmenyamankan. Sesetengah bayi yang lain pula mungkin merasa bedung terlalu menyekat dan lebih sukakan lain cara untuk ditenteramkan seperti dibuai atau dinyanyikan.

Dapatkan ritma yang sekata
Dalam rahim, bayi anda boleh mendengar denyutan jantung anda: itu satu sebab bayi masih suka dipeluk rapi. Walau bagaimanapun, bunyi-bunyi lain yang teratur dan berulang boleh juga mendatangkan kesan tenteram. Anda boleh cuba memainkan muzik yang lembut atau menyanyi senandung buaian. Ramai ibu bapa mendapati yang bayi mereka boleh mendengar ritma mesin basuh yang teratur atau bunyi bercorak 'hingar putih' yang dihasilkan oleh pembersih vakum atau pengering rambut, yang dapat membuatkan mereka tertidur. (Jangan sekali-kali meletakkan bayi anda di atas mesin basuh atau pengering kain pada bila-bila masa sekalipun. Sebaliknya, letakkan dia di atas lantai berdekatan dengan mesin tersebut.)

Buai-buaikan bayi
Kebanyakan bayi suka dibuai perlahan-lahan, dan anda mungkin dapati bahawa bayi anda boleh ditenangkan dengan cara ini, iaitu samada dengan mendodoinya sambil berjalan atau meletakkannya di pangkuan sambil anda duduk di kerusi goyang. Buaian bayi yang khas atau kain gendong tradisional boleh menenangkan sesetengah bayi, manakala sesetengah yang lain pula lebih selesa jika bergerak dengan laju dan terus tertidur apabila dibawa berjalan dalam kereta.

Cuba kaedah urutan
Mengurut bayi atau menggosok belakang atau perutnya dengan perlahan boleh membantu menenangkannya. Jika anda nampak dia seperti dalam kesakitan akibat angin, cuba susukan dia dalam posisi tegak dan tepuk belakangnya dengan lembut selepas penyusuan dengan menyandarkannya di bahu anda. Bayi yang menghidap kolik kadang-kala rasa selesa jika perut mereka digosok, dan anda pun akan berpuas hati sebab sekurang-kurangnya telah mencuba membantu bayi yang cemas.

Biarkan dia menghisap sesuatu
Bagi setengah bayi baru lahir, dorongan untuk menghisap amat kuat dan menghisap puting atau jari (yang bersih) atau ibu jari boleh mendatangkan memberi ketenangan. "Hisapan penyelesa" boleh mengaturkan kadar denyutan jantung bayi, merelakskan perutnya dan membantu dia bertenang.

Jangan menaruh harapan yang terlalu tinggi terhadap diri anda
Bayi yang menangis tidak berhenti-henti tidak akan memudaratkan dirinya dalam jangka masa panjang, tetapi mungkin menyebabkan banyak stres dan kebimbangan bagi ibu bapanya. Jika bayi anda kelihatan tidak gembira dan menolak sebarang usaha anda untuk menceriakan atau menenangkannya, ini mungkin membuatkan anda rasa kecewa. Ibu bapa sering menyalahkan diri sendiri. Mereka merasakan bahawa ketidakcekapan mereka sebagai ibu bapalah yang menyebabkan bayi mereka menangis. Tetapi ini bukan hakikatnya.

Jika anda sudah pasti keperluan bayi anda telah dipenuhi dan tiada perkara fizikal yang menyebabkan bayi anda menangis, dan jika anda telah mencuba segala-galanya untuk menenangkannya tetapi tiada yang berhasil, sudah tiba masanya bagi anda menjaga diri sendiri supaya anda tidak rasa tertewas. Di sini diberikan beberapa cadangan:

Tarik nafas panjang.
Letakkan bayi anda di satu tempat buat sementara dan biarkan dia menangis untuk seketika tanpa didengari oleh anda.

Jika membantu, mainkan muzik yang nyaman dan relakskan diri sendiri untuk 10 minit.
Panggil kawan atau saudara untuk mendapatkan sokongan. Berehatlah buat sementara dan biarlah orang lain menjaga bayi anda untuk sekejap.
Cari kumpulan sokongan atau kumpulan ibu-dan-bayi di mana anda boleh berkongsi perasaan anda dan berbincang dengan ibu bapa baru yang lain tentang cara untuk menangani tangisan bayi. Direktori A-Z kami mungkin mempunyai sumber yang boleh membantu anda.
Ingatkan diri anda bahawa bayi anda tiada mempunyai sebarang masalah dan tangisan itu tidak akan mencederakan dia. Kadangkala cuma dengan menerima kenyataan yang anda mempunyai bayi yang banyak menangis akan membantu, sebab anda tidak akan membuat diri anda letih dengan mencari-cari sebab-sebab tangisan itu, menyalahkan diri anda, atau melakukan pelbagai rawatan yang tidak berkesan.
Ingatkan diri anda bahawa ini fasa sementara dan akan berlalu.

Menjadi ibu atau bapa bayi baru lahir merupakan tugas yang berat. Menjadi ibu atau bapa bayi baru lahir yang banyak menangis adalah tugas yang lebih berat lagi. Dapatkan bantuan dan sokongan apabila anda memerlukannya, jangan tunggu sampai masalah itu menjadi teruk. Dan bertenanglah dengan mengingatkan bahawa setiap hari, apabila bayi semakin membesar, dia akan mempelajari cara-cara baru untuk mengkomunikasikan keperluan dia kepada anda. Secara perlahan-lahan, apabila dia mula berbuat demikian, tangisan itu akan berhenti.

http://www.babycenter.com.my/a1045598/tujuh-sebab-bayi-menangis-dan-bagaimana-menenangkan-mereka#ixzz2ZAZgpDck